Home » » pemuda tergamak menetak neneknya sehingga mati selain mengakibatkan isteri dan bapa mentuanya cede­ra parah

pemuda tergamak menetak neneknya sehingga mati selain mengakibatkan isteri dan bapa mentuanya cede­ra parah




WAK MOH BAH WEK maut setelah ditetak di bahagian belakang leher dengan parang oleh cucunya di Kampung Jarau, Lipis, Pahang, kelmarin. – Foto Utusan Online

LIPIS 20 Jun 2017 – Seorang pemuda tergamak menetak neneknya sehingga mati selain mengakibatkan isteri dan bapa mentuanya cede­ra parah dalam kejadian amuk di Kampung Jarau, di sini semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek yang berusia 32 tahun melibas parang ke bahagian belakang leher neneknya, Wak Moh Bah Wek, 76, selepas mangsa dikatakan gagal menyediakan makanan dimintanya.

Suspek juga bertindak menetak bahagian belakang bapa mentuanya, Bah Keloh Bah Kuyah, 56, dan mencederakan isterinya, Rohini Bah Keloh, 21, menggunakan bara kayu api.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian suspek dikatakan tiba-tiba pitam di rumah kakaknya selepas kelihatan berada dalam keadaan resah.

“Apabila tersedar, dia terus mengambil bara api daripada kayu yang digunakan untuk memasak lalu mencucuk muka isterinya sebelum ke rumah neneknya bagi memin­ta makanan.

“Suspek bertindak menetak bahagian leher neneknya kerana dikatakan gagal menyediakan makanan menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azry Akmar, lelaki berkenaan kemudian berlari pulang ke rumahnya dan menetak bapa mentuanya di bahagian belakang badan sebelum ditangkap dan diikat oleh seorang lelaki yang datang membantu.

Katanya, mayat Wak Moh dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat manakala mangsa yang cede­ra dirawat di hospital sama.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kera­na membunuh dengan niat.

“Tempat kejadian merupakan perkampungan Orang Asli yang terletak kira-kira 40 kilometer dari jalan utama dan hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa tiga jam.

“Pada masa ini polis telah menahan suspek dan merampas parang yang digunakannya bagi membantu siasatan,” ujarnya. – Utusan Malaysia


http://malaysianreview.com/178197/cucu-mengamuk-tetak-nenek-hingga-mati/

Thanks for reading & sharing Terlajak Over

Previous
« Prev Post

0 comments:

Post a Comment