Loo Siew Chin [ foto duduk tengah] bangga kerana berjaya membesarkan lapan daripada sebelas anaknya menjadi doktor, selain 35 cucu dan cicitnya juga berkerjaya sama.
GEORGE TOWN, 28 Mei — Keluarga mendiang Lim Tang Too sepatutnya mendapat tempat dalam Guinness Book of World Records kerana mempunyai anggota yang paling banyak menjadi doktor.
Kesemua mereka berjumlah 45 orang, yang merupakan anak, cucu dan cicit Lim.
Lim, yang meninggalkan balunya, Loo Siew Chin, 95 tahun, sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan bagi kesemua 11 anak mereka, dan hasilnya, lapan daripada mereka menjadi doktor.
Loo, 95, yang pernah menjadi penoreh getah bersama suaminya, berkata walaupun menghadapi kesukaran untuk menyara keluarga besar dengan pendapatan mereka yang tidak seberapa, tetapi mereka tidak pernah patah semangat untuk melihat kesemua mereka berjaya dan menikmati kehidupan yang selesa.
Hari ini, dalam keluarga berkenaan terdapat 45 doktor, 20 daripada mereka adalah doktor pakar dan seorang bergelar profesor madya di Universiti Malaya.
Daripada sembilan anak lelaki dan dua anak perempuan Loo, anak lelaki sulungnya, Datuk Dr Lim Boon Sho, kini mengendalikan Klinik Lim di Nibong Tebal.
Menurut Dr Boon Sho, bapanyalah yang memberi semangat kepada mereka untuk menjadi doktor supaya dapat menolong adik beradik lain yang sering sakit.
Dr Boon Sho, anggota kelurga Lim yang pertama mendapat kelulusan sebagai doktor, berkata dia mula mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di India pada 1964.
“Semasa kanak-kanak, kami sering jatuh sakit dan bapa saya menghantar kami ke hospital besar untuk mendapatkan rawatan. Disebabkan sering dihimpit kekangan kewangan, bapa saya mendapat idea agar terdapat seorang doktor dalam keluarga kami agar dia boleh menjaga yang lain.
“Setelah saya menamatkan pengajian, seorang demi seorang adik beradik saya mengambil laluan sama,” katanya kepada Bernama pada majlis makan malam keluarga itu di sini malam tadi.
Dr Boon Sho, yang pernah menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap dari 1986 hingga 1990, berkata selepas kematian bapanya sembilan tahun lalu, keluarga itu menjadi semakin menyintai dunia perubatan.
“Kami adik-beradik sering berbual mengenai perubatan, tetapi kami tidak memaksa anak kami menjadi doktor, cuma ingin mereka mendapat pendidikan yang baik,” katanya.
Daripada 10 adik beradik Dr Boon Sho, tujuh menjadi doktor iaitu Dr Lim Boon Sin, 68, Dr Lim Boon Ben, 66, Dr Lim Boon Seng, 64, Dr Lim Boon Hock, 59, Dr Lim Boon Han, 55, Dr Lim Boon Kiong, 52 dan Dr Lim Boon Aik, 50.
Kakak sulung Dr Boon Sho, Lim Ai Hwa, 76, adalah suri rumah, adik lelaki bongsunya, Lim Boon Tai, 62, menjadi ahli perniagaan dan adik perempuan bongsunya, Lim Ai Ching, menjadi peguam.
Sementara itu, Dr Boon Han, yang juga pengerusi Gerakan Nibong Tebal, berkata dengan terdapat lebih 45 doktor dan pakar dalam keluarga itu sekarang, ada perancangan untuk membuka sebuah hospital swasta yang dikendalikan kelurga Lim.
“Mungkin suatu hari nanti, kami dapat perkenalkan sebuah hospital keluarga Lim, tetapi semua itu masih terlalu awal dan baru di peringkat perancangan,” katanya.
Menurut beliau, keluarga itu yang kini mempunyai kira-kira 100 anggota daripada empat generasi, menjadikan suatu kemestian bagi mereka untuk berkumpul pada setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, dengan perubatan menjadi topik utama perbincangan mereka. — Bernama
http://www.malaysiastylonews.com/167282/keluarga-penoreh-getah-45-orang-anak-cucu-cicit-jadi-doktor/
Thanks for reading & sharing Terlajak Over
0 comments:
Post a Comment