Atiyah berkata, dugaan dihadapi menantunya, Norhidayu M Yunus, 28, amat getir kerana perlu menjaga kedua-dua insan tersayang itu dan kesudahannya, wanita berkenaan berhenti kerja sejak lima bulan lalu.
Menurut Atiyah, Norhidayu berdepan ujian apabila suaminya, Syed Muhammad ‘Adnin Mohd Jamil, 27, diserang penyakit berkaitan neurovaskular, Arteriovenous Malformation atau Malformasi Arterio Vena (AVM) iaitu saluran darah bersimpul ketika dia hamil lima bulan.
“Anak saya, Syed Muhammad ‘Adnin yang sebelum ini bekerja di bahagian penyelenggaraan syarikat swasta di Iskandar Puteri diserang AVM pada 24 November lalu.
“Doktor mengesahkan ada darah beku sebesar empat sentimeter di otak kanan Syed Muhammad ‘Adnin dan dia menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.
Menurut Atiyah, tempurung kepala Syed Muhammad ‘Adnin juga dikeluarkan dan ditanam di perut bagi memberi ruang untuk pembedahan berkenaan dan dipasang semula selepas pulih kelak.
Atiyah berkata, pada awalnya, doktor meramalkan Syed Muhammad ‘Adnin dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu selepas pembedahan apabila dia mampu memberi maklum balas menerusi pergerakan tangan ketika berkomunikasi dengannya.
“Bagaimanapun, Allah SWT mengujinya apabila suhu badan Syed Muhammad ‘Adnin meningkat mendadak mencecah 40 darjah Celsius.
“Dia disahkan mengalami jangkitan kuman, manakala kulit kepalanya bernanah menyebabkan doktor melakukan pembedahan kedua pada Disember lalu di HSI,” katanya.
Menurut Atiyah, Syed Muhammad ‘Adnin juga disahkan separa koma, malah doktor tidak dapat meramalkan jangka masa sembuh.
Atiyah berkata, bahagian kanan badan Syed Muhammad ‘Adnin juga kejang dan keluarganya mendapatkan khidmat pakar fisioterapi serta akupuntur bagi melakukan rawatan sesuai di kediaman keluarga.
“Kini, Syed Muhammad ‘Adnin, Norhidayu dan bayi mereka, Syed Muhammad Umar tinggal bersama kami. Norhidayu turut memberikan susu khas kepada suaminya setiap enam jam seperti yang disyorkan doktor.
“Saya dan suami bergilir menguruskan Syed Muhammad ‘Adnin bagi meringankan beban Norhidayu,” katanya.
Menurut Atiyah, keluarganya juga memerlukan RM2,000 sebulan bagi perbelanjaan tiga beranak berkenaan.
“Kami hanya mampu membantu menampung sebahagian perbelanjaan memandangkan kami baru berhenti berniaga di kantin di sebuah sekolah memandu, baru-baru ini.
“Kami juga belum memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana sibuk menguruskan Syed Muhammad ‘Adnin dan cucu,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Atiyah di 151306911828 atau menghubungi talian 016-7258373.
Menurut Atiyah, sepanjang dalam keadaan separa koma, Syed Muhammad ‘Adnin pernah beberapa kali menunjukkan tindak balas mengejutkan termasuk tiba-tiba mengucup pipi anaknya apabila bayi berkenaan dibawa kepadanya.
Thanks for reading & sharing Terlajak Over
0 comments:
Post a Comment