Saiznya mengikut umur seseorang, semakin meningkat umur ia semakin membesar. Proses pembesaran ini dipanggil Benign Prostate Hyperplasia (BPH). Bagi remaja berusia 20-an, saiznya mungkin sebesar guli kecil tapi bagi yang berusia lebih 40 tahun, ia bersaiz guli besar atau paling tidak sebesar kacang ‘walnut’.
Fungsi utama prostat ialah menghasilkan cecair yang berfungsi melindungi, menyokong serta melancarkan pergerakan air mani. Hampir 75 peratus cecair ini dibekalkan dalam pundi air mani, 20 peratus kekal di dalam prostat, empat peratus dalam buah zakar dan satu peratus untuk air mazi.
Apakah Kanser Prostat?
Kanser prostat ialah ketumbuhan yang bermula dalam kelenjar prostat. Dalam beberapa kes, kanser ini membiak dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom atau menyedari kewujudannya.
Lama-kelamaan ia akan membesar serta mengelilingi prostat. Jika tidak ‘dibunuh’ dengan segera, ia boleh merebak ke tulang belakang yang mengundang risiko lebih besar.
“Peringkat satu dan dua hanya membabitkan 5 peratus kanser di sekitar kelenjar. Peringkat tiga pula ia mula merebak ke sarung kelenjar prostat atau vesikal seminal. Dan tahap empat yang dikategorikan serius ialah kanser mula merebak ke pundi kencing, dubur, paru-paru dan tulang.
“Serangan ke atas tulang belakang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit belakang malah boleh mengakibatkan lumpuh,” katanya.
Umur
– Kanser prostat lazimnya menyerang lelaki yang berusia lebih 50 tahun malah semakin tua usia anda, semakin mudah diserang kanser ini. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada lelaki yang berumur 65 tahun ke atas. Dalam kalangan pesakit kanser prostat di negara ini, kaum Cina merekodkan bilangan insiden tertinggi dibandingkan Melayu dan India.
Sejarah keturunan
– Ia juga melibatkan sejarah penyakit keturunan di mana mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser berkenaan lebih terdedah kepada risiko diserang.
Pemakanan
– Pemakanan yang mempunyai kurang sayuran dan buah-buahan serta pengambilan daging merah dan produk tinggi lemak didapati menjadi risiko yang tinggi untuk mendapat kanser prostat di kalangan lelaki.
Obesiti
– Kegemukan dan merokok juga merupakan risiko yang tinggi untuk kanser prostat.
Simptom/Tanda-Tanda
Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing seperti terlalu kerap, tidak puas, tidak lancar, sakit atau pedih, berdarah, kerap kencing malam, terkencing dan terasa sakit ketika berlaku ejakulasi semasa bersetubuh.
Saringan Kanser Prostat
Ada dua jenis strategi saringan yang kerap digunakan iaitu paras PSA dalam darah dan pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE). Namun saringan untuk kanser prostat masih menjadi kontroversi. Negara seperti Amerika Syarikat mempunyai program saringan sendiri manakala negara seperti United Kingdom, tidak mengesyorkan program saringan. Kontroversi ini disebabkan ada kajian menunjukkan program saringan tidak dapat menurunkan kadar kematian dan kajian lain pula mendapati program saringan menyebabkan pesakit dirawat tanpa keperluan.
Walaubagaimanapun dua saringan yang mudah ini boleh menentukan lelaki mana yang perlu melakukan pemeriksaan lanjut. Apabila didapati paras PSA yang tinggi didalam darah dan pemeriksaan prostat dengan jari mendapati prostat tidak normal, maka pesakit ini dicadangkan menjalani biopsi dan pengimejan prostat.
Saringan adalah disarankan bagi lelaki yang berumur 50 tahun keatas dan mempunyai risiko seperti yang dinyatakan.
Rawatan
Apabila disahkan menghidap kanser prostat, ada beberapa cara rawatan yang boleh dijalankan bergantung pada tahap kanser. Terdapat pelbagai kaedah rawatan seperti ubatan mahupun pembedahan. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda kanser prostat, sila berjumpa dengan Doktor di klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
“ANDA SIHAT, PASANGAN BAHAGIA ”
#BPKK #KKM #SihatBaruMacho
– MYNEWSHUB.CC
Thanks for reading & sharing Terlajak Over
0 comments:
Post a Comment