KULIM - Seorang pemilik bengkel terkejut melihat papan tanda dan dinding bengkel kereta dibaling cat dan diconteng perkataan kesat, awal pagi tadi.
Hanya mahu dikenali sebagai Wan, 24, berkata kejadian itu pertama kali berlaku dibengkel tersebut dan percaya ia berpunca daripada perasaan tidak puas hati sepasang kekasih yang ditegurnya pagi semalam.
"Saya sudah dengar seperti ada sesuatu yang dibaling pada papan tanda kedai bahagian depan kira-kira jam 2 pagi, saya selak jeriji besi cuba intai dari dalam tapi tak nampak apa.
"Kira-kira jam 5 pagi ketika saya nak pergi beli makanan untuk bersahur saya terkejut ternampak cat hitam di atas lantai dan apabila dongak ke atas ternampak kesan cat hitam yang dibaling.
"Saya pergi ke belakang kedai nak periksa kalau ada apa-apa dan terkejut ternampak tulisan kesat yang diconteng menggunakan cat merah," katanya.
Katanya, dia percaya perkara itu terjadi akibat menegur sepasang kekasih yang sedang memadu asmara di dalam kereta di tepi bengkelnya, pagi semalam.
"Saya percaya ini mesti perbuatan khianat pasangan tersebut. Semalam semasa saya tengah nak mulakan perniagaan dan meletakkan kereta pelanggan di luar saya ternampak sepasang kekasih di dalam kereta buat perkara tak senonoh kira-kira jam 11 pagi.
"Walaupun cermin kereta gelap namun saya masih nampak, saya merasa perkara itu tak patut dilakukan di tempat awam dan terbuka jadi saya pergi ketuk cermin kereta dan bertanya apa yang mereka buat.
"Pasangan itu hanya menjawab dengan tenang sebelum menutup cermin kereta dan mengundur kenderaan sehingga ke hadapan bengkel lalu membuat bunyi bising," katanya.
Katanya, kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan itu dia terus mengekori menaiki motosikal dan bertanya kenapa berbuat demikian.
"Saya ikut naik motosikal dan memotong kereta sebelum memakir di tepi jalan, tapi mereka cuba untuk melanggar saya dalam keadaan panik saya sempat mencapai barang di dalam raga untuk melemparkan kepada kereta tersebut untuk pertahankan diri. Nasib baik kereta itu mengelak dan terus berlalu pergi dari situ," katanya.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Hi-Tech Kulim kerana bimbang akan terjadi sesuatu terhadap diri dan bengkel kenderaan tempatnya bekerja.
"Saya telah buat repot polis kira-kira jam 8.30 pagi tadi kerana bimbang akan keselamatan diri dan bengkel,"katanya.
Wan berkata dia juga berharap pihak polis dapat melakukan rondaan secara kerap di kawasan tersebut kerana banyak kaki botol sering melepak di situ dan ia membahayakan keselamatan orang awam serta harta benda.
"Saya harap pihak berkuasa dapat buat rondaan dengan kerap di kawasan ini, banyak sangat kaki botol melepak dan sehingga mabuk, ia membahayakan keselamatan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
"Kita ada terima laporan terbabit daripada pengadu sebagai langkah keselamatan, dan pihak polis akan mengambil tindakan segera untuk membuat rondaan di kawasan terbabit,"katanya
http://www.sinarharian.com.my
Thanks for reading & sharing Terlajak Over
0 comments:
Post a Comment